IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan tertutup dengan Badan Perhubungan UMNO serta pemimpin Barisan Nasional (BN) Perak di Pusat Konvensyen Amanjaya di sini sebentar tadi.

Pertemuan yang bermula jam 10 pagi dan berakhir kira-kira sejam kemudian itu turut dihadiri Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Pihak media diberitahu Najib yang juga Presiden BN telah melancarkan jentera pilihan raya BN Perak bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 dalam pertemuan tertutup berkenaan.

Hadir sama Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong, Pengerusi MCA Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, Pengerusi dan Pengerusi MIC Negeri Datuk V.Elango.

Ribuan ahli BN melibatkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, ketua-ketua UMNO Bahagian, pemimpin parti komponen dan sayap-sayap parti hadir untuk pertemuan itu.

Pertemuan tersebut merupakan program pertama Najib di Perak sebelum dijadualkan menghadiri Program Bajet 2018 Bersama Rakyat & Sesi Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Tanjong Rambutan, Ulu Kinta.