KUALA NERUS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meluangkan masa selama lebih satu jam bersama barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN) Terengganu dalam tiga pertemuan tertutup di Hotel Tabung Haji, di sini, pagi ini.

Ia bermula pada jam 9 pagi apabila beliau meluangkan masa selama kira-kira 15 minit untuk bersarapan bersama pimpinan UMNO Bahagian Kuala Nerus yang diketuai Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Perdana Menteri kemudian menghadiri pertemuan tertutup bersama seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Wakil Rakyat UMNO Terengganu.

Difahamkan, pertemuan selama 35 minit itu dilaksanakan bagi memberi taklimat kepada Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO mengenai kesiapsiagaan dan persiapan UMNO Terengganu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Turut hadir pada pertemuan itu adalah Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Jailani Johari dan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Sebaik tamat pertemuan itu, Perdana Menteri turut meluangkan masa mendengar taklimat daripada parti komponen BN Terengganu terdiri daripada MCA, MIC, GERAKAN dan MyPPP selama 25 minit.

Perdana Menteri dengan diiringi barisan kepimpinan Terengganu kemudian berangkat menuju ke tapak Ekspo Terengganu 2018 bagi meneruskan program bersama rakyat selain menghadiri Majlis Perasmian Penutup Ekspo Terengganu 2018 – berita harian