PUTRAJAYA : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Melawati di sini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata mesyuarat Pra-Kabinet pada hari ini adalah sesi julung kali Seri Paduka bersama Muhyiddin sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac.

“Mesyuarat berlangsung selama lebih 45 minit di Istana Melawati, Putrajaya, mulai jam 8 pagi. Kedua-dua pemimpin kelihatan mesra dan penuh teliti ketika sesi pertama berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat mengenai isu-isu semasa bersama Perdana Menteri.

“Pada tahun lalu, Seri Paduka Baginda telah berkenan berangkat menghadiri sejumlah 36 mesyuarat Pra-Kabinet, manakala pada tahun ini (sehingga 12 Februari) sejumlah enam mesyuarat Pra-Kabinet,” katanya. – BERNAMA