MALE: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini Selasa untuk lawatan rasmi dua hari ke Maldives, sebuah negara kepulauan.

Ketibaan Datuk Seri Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Lapangan Terbang Antarabangsa Velana, Hulhule disambut oleh Menteri Luar Maldives Dr Mohamed Asim dan Menteri Dalam Negeri Azleen Ahmed yang juga Menteri Pengiring.

Pesawat khas yang membawa Datuk Seri Najib dan delegasi dari Colombo mendarat di lapangan terbang pada 4.50 petang waktu tempatan (7.50 malam waktu Malaysia).

Rombongan perdana menteri temasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kesihatan Datuk Seri S. Subramaniam dan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Turut hadir ialah Setiausaha Luar Maldives, Ahmed Sareel dan Duta Besar Maldives ke Malaysia Mohamed Fahmi Hassan.

Perdana Menteri memeriksa perbarisan kehormatan terdiri daripada anggota Angkatan Pertahanan Negara Maldives.

Datuk Seri Najib dan isteri kemudian dibawa menaiki bot menuju ke Kurumba, Maldives yang menjadi tempat penginapan mereka semasa lawatan tersebut.

Anggota lain delegasi peringkat tertinggi dari Malaysia ialah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh; dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Pada Rabu, jadual ketat Datuk Seri Najib bermula dengan upacara sambutan negara apabila beliau akan disambut oleh Presiden Maldives Abdulla Yameen Abdul Gayoom.

Kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan mesyuarat empat mata diikuti mesyuarat dua hala dengan delegasi dari kedua-dua negara.

Kedua-dua mereka juga akan menyaksikan majlis pemeteraian empat Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara mengenai penubuhan Pusat Kebudayaan Maldives dalam bidang kesihatan, memadamkan kebakaran dan menyelamat serta pendidikan tinggi.

Maldives ialah negara paling kecil di Asia dari segi penduduk dan keluasan. Negara kepulauan dengan keluasan 90,000 kilometer persegi itu mempunyai jumlah penduduk hampir 450,000 orang.

Malaysia dan Republik Maldives, kedua-duanya negara Islam, menjalin hubungan mesra dan merangkumi berbagai bidang yang luas termasuk pendidikan, pelancongan dan bantuan teknikal, yang memberi manfaat bersama kepada kedua-dua negara.

Kedua-dua negara menjalin hubungan dua hala 49 tahun lalu.

Lawatan sulung Datuk Seri Najib ke Maldives ialah atas jemputan Presiden negara itu dan lawatan itu dilakukan 33 tahun selepas seorang Perdana Menteri dari Malaysia membuat lawatan.

— BERNAMA