KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan ucapan takziah kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun atas kematian isterinya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya, pada Jumaat.

Allahyarham Puan Sri Azizah Hamdi, 58, menghembuskan nafas terakhir di PPUM pada jam 7.02 malam akibat sakit kanser.

Najib, yang ketika ini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Bahrain, turut mendoakan agar roh Azizah, yang menghidap kanser sejak tahun 2002, dicucuri rahmat.
“Takziah kepada Ketua Polis Negara Tan Sri @Fuzi_Harun dan keluarga atas pemergian isteri tercinta, Puan Sri Azizah Hamdi. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat. Al-Fatihah,” katanya menerusi laman Twitter.

Jenazah Azizah disembahyangkan di Surau Khalid Al-Walid, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam kira-kira 10 malam selepas tiba dari PPUM kira-kira 8.30 malam tadi untuk dimandi dan dikapankan di surau berkenaan.

Jenazah Allahyarhamah kemudian dibawa ke kampung halamannya di Rapat Jaya, Ipoh, untuk dikebumikan kira-kira 9 pagi esok.

Allahyarham, yang mengambil alih jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia pada 4 Sept lalu, meninggalkan tiga orang anak. — Bernama