PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan memutuskan siapa yang bakal memegang jawatan bagi setiap kementerian dalam pentadbiran baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Perdana Menteri berkata, sehingga kini 10 nama dari PKR dan tiga dari Parti Amanah Negara (AMANAH) sudah diterima bagi dipertimbangkan untuk jawatan menteri Kabinet.

“(Presiden PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail) datang hari ini mengemukakan cadangan 10 nama dari PKR walaupun saya hanya minta tiga nama. (Presiden AMANAH), Muhammad Sabu sudah serahkan tiga nama dari AMANAH, dia hantar surat kepada saya.

“Pendirian kita, parti akan kemukakan nama dan pilihan kementerian. Saya akan putuskan siapa pegang jawatan dan kementerian mana.

“Saya akan jumpa pemimpin parti sekali lagi selepas ini,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-7 pada Khamis lalu, Dr Mahathir menamakan Dr Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri serta tiga menteri Kabinet, iaitu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (Menteri Kewangan); Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Menteri Dalam Negeri) dan Muhammad (Menteri Pertahanan).

Sementara itu, Dr Mahathir berkata beliau turut menerima kunjungan hormat Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, hari ini.

“Saya rasa terhormat kerana baginda, ketua kerajaan pertama yang jumpa dengan saya selepas dilantik Perdana Menteri. Baginda ketepikan protokol dan pilih untuk datang jumpa saya,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, hari ini beliau mengadakan perjumpaan bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa bagi mengetahui kemajuan arahan yang sudah diberikan.

“Perjumpaan mengenai susunan kerajaan dan tindakan yang perlu diambil kepada beberapa pegawai, ini akan dilakukan secara tersusun dan mengikut undang-undang,” katanya – berita harian