KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad menerima kunjungan hormat beberapa pemimpin Hamas diketuai Ismael Haniyya, di Putrajaya, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi akaun Twitter rasmi Perdana Menteri, dengan disertakan lima gambar pertemuan berkenaan.

Dalam pertemuan di Pejabat Perdana Menteri itu, Ismael menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana membawa idea segar berkenaan dunia Islam melalui penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, hujung bulan lalu.

Ismael turut menyampaikan penghargaan atas usaha dan sokongan berterusan Dr Mahathir kepada rakyat Palestin.

Menurut pemimpin Hamas itu, Malaysia mempunyai kedudukan yang amat istimewa dalam dunia Islam.

“Turut dibincangkan ialah beberapa perkara berkaitan perkembangan terkini dan nasib yang menimpa rakyat Palestin,” jelasnya.

Dr Mahathir terkenal dengan kelantangannya mempertahankan Palestin, antaranya membidas keputusan Amerika Syarikat yang tidak menganggap penempatan Israel di Tebing Barat sebagai penempatan haram.

Pada Oktober tahun lalu, ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 di Baku, Azerbaijan, Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan membuka kedutaan untuk Palestin di Jordan, bagi membolehkan Malaysia memberi bantuan kepada rakyat Palestin dengan lebih mudah.