IPOH – Himpunan #KeadilanBuatAdib di Padang Ipoh hari ini antara lain menggesa orang Melayu dan Islam untuk bangkit menuntut kerajaan bagi mengheret dalang yang mengorbankan nyawa anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim ketika bertugas dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor pada 27 November lalu.

Peserta turut mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dipecat setelah dilihat gagal memainkan peranan dalam menjaga perpa­duan masyarakat negara ini.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah berkata, gerakannya akan terus mendesak kerajaan supaya menangkap pemaju serta peguam kepada syarikat pemaju berhubung kes tersebut.

Beliau mendakwa, ini kerana kedua-dua pihak itu masing-masing telah membayar gengster untuk melakukan huru-hara serta mengaturkan pergaduhan memandangkan ia adalah fakta pen­ting dilaporkan dalam media selain dikeluarkan oleh pihak polis.

“Kita sudah tahu ada orang yang tukang bayar dan kita tahu ada orang atur perkara ini. Kenapa hingga hari ini mereka masih terlepas sedangkan Muhammad Adib telah terbunuh dalam kes ini?

“Kita juga telah menghantar memorandum dan desak agar dipecat menteri ini (Waytha Moorthy). Andai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Moha­mad tidak mahu ambil sebarang tindakan, selepas ini tidak pula malu untuk saya dan orang-orang Melayu Islam, bangkit pecat Dr. Mahathir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam himpunan tersebut yang disertai lebih 50 orang dan turut dihadiri bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Hamidah Osman.

Sementara itu, Hamidah berkata, sebuah suruhanjaya diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut secara bertanggungjawab supaya pihak terlibat dikenakan hukuman sewajar­nya.

“Selaku rakyat Malaysia, dalam Malaysia baharu, saya minta sama-sama kita suarakan kerisauan apabila melihat keadaan sedia ada seolah-olah tidak terkawal dan orang boleh melakukan apa sahaja sehingga boleh mengorbankan nyawa insan tidak berdosa,” katanya – utusan online