PUTRAJAYA : Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mengesahkan kesemua sembilan rakaman audio yang disifatkan sebagai mengejutkan itu adalah tulen.

Bercakap dalam sidang media di pejabatnya di sini, beliau berkata, dapatan itu berdasarkan siasatan mengenai ketulenan rakaman audio yang telah dijalankan oleh unit forensik SPRM.

Ditanya mengapa pendedahan itu dibuat sekarang meskipun membabitkan perbualan telefon empat tahun lalu, Latheefa berkata, ia adalah kerana mereka baharu sahaja menerimanya pada awal bulan ini.

Antara yang didedahkan adalah perbualan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM,Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkaitan 1Malaysia Development Berhad dan SRC International.

Begitu juga satu rakaman audio antara Najib dengan seorang individu dipercayai dari luar negara berhubung pemintaan supaya diadakan satu perjanjian untuk anak tirinya Riza Aziz bagi menutup sumber dana yang diperoleh bagi penerbitan filem yang dikaitkan dengan 1MDB.

Selain itu turut wujud perbualan Najib yang ingin mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi.

Latheefa berkata kesemua rakaman tersebut akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan lanjut.

“Perkara ini kita lihat sangat serius dan perlu disiasat, jadi saya sudah mengarahkan pegawai (SPRM) untuk menyerahkan semua rakaman suara kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” tambahnya.

Beliau yakin pendedahan ini tidak subjudis  meskipun perbicaraan kes SRC dan 1MDB sedang berlangsung, kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Terdahulu ujarnya, antara kesalahan yang dikesan adalah melibatkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, cubaan memalsukan bukti dan mendedahkan dokumen rasmi.

Latheefa dalam pada itu  memberitahu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad belum dimaklumkan tentang pendedahan SPRM hari ini. -MalaysiaGazette