TELUK INTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan permohonan untuk membina sebuah Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan 500 unit lagi rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk manfaat rakyat Teluk Intan.

Beliau membuat pengumuman itu ketika berucap di majlis pecah tanah projek PR1MA di Teluk Intan, di Batu 4, Jalan Changkat Jong di sini, hari ini.

Perdana Menteri turut meluluskan pemasangan lampu limpah untuk padang SMK Serikandi bagi membolehkan aktiviti sukan dijalankan di waktu malam.

“Untuk PPR, saya harap dapat cari tapak, kita buat dua fasa, fasa pertama 250 unit dan fasa kedua, 250 unit lagi,” katanya.

Hadir sama pada majlis pecah tanah itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir,

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias dan barisan Exco kerajaan negeri

Perdana Menteri berharap, projek-projek itu akan memberi manfaat kepada rakyat, sesuai dengan matlamat kerajaan yang sentiasa mendahulukan rakyat.

Sementara itu, Mah berkata, projek-projek yang diluluskan itu memang dinanti-nantikan oleh rakyat Teluk Intan.

Beliau memberitahu, sebelum ini, kerajaan telah membina 150 unit rumah PPR yang telah siap hampir dua tahun lalu dan dijual hanya RM35,000 seunit, walaupun kosnya kira-kira RM140,000.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat supaya memilih wakil rakyat dan kerajaan yang boleh memberi faedah manfaat kepada mereka.

BERITA BERKENAAN : Aidilfitri Lebih Bermakna, Rakyat Dapat BR1M Sebelum Hari Raya

1/4