IPOH: Perbadanan Menteri Besar Perak (PMB) berhasrat memperluaskan lagi penganjuran Majlis Kenduri Ramah Mesra PMB Bersama Penduduk ke seluruh negeri Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Datuk Aminudin Hashim berkata program tangungjawab sosial korporat berkenaan merupakan platform terbaik untuk pihaknya berkongsi sebahagian hasil pendapatan syarikat bersama golongan yang memerlukan di Perak.

“Selain hasil yang diperolehi PMB disalurkan semula kepada Kerajaan Negeri agar dapat digunakan bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat, ia turut disalurkan secara terus kepada rakyat melalui penganjuran program seperti majlis kenduri ramah mesra bersama rakyat negeri ini.

“Bagi membantu dari segi peralatan atau kelengkapan Masjid, majlis perayaan bersama Penduduk Kampung, perkhidmatan Surau Bergerak dan lain – lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Tambah beliau, PMB percaya ikatan ukhuwah yang teguh dan sikap saling membantu adalah tonggak kekuatan dalam menangani isu-isu di sesebuah kawasan dan tidak hanya mengharapkan kepada kerajaan negeri semata-mata.

“Maka kita hendaklah berusaha bersama-sama bagi membasmi kemiskinan, membangunkan golongan belia, meningkatkan pulangan ekonomi, memelihara alam sekitar dan sebagainya,” ujar beliau.

Terbaharu, PMB telah menganjurkan majlis kenduri ramah mesra bersama penduduk tersebut di Kampung Ulu Piol bersempena Pemukiman Daerah YAB Menteri Besar di daerah Kuala Kangsar baru-baru ini.

Turut hadir pada program berkenaan  Adun Kemunting Datuk Mohammad Zahir Datuk Abdul Khalid dan Adun Manong merangkap Pemangku Ketua Bahagian Kuala Kangsar Datuk Mohamad Kamil Datuk shafie.