Oleh: Nazialita Geynna Maharan

SELAMA: Riak keriangan berbaur kegelisahan jelas terpampang di wajah setiap murid dari sekitar kawasan Parlimen Larut yang menerima sumbangan alat tulis bagi menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada Isnin depan.

c98615cd-fdd5-443d-a03f-b65afed4b2a3

Sambil membelek-belek alat tulis yang disumbangkan oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNB), seramai 300 murid dari 12 buah sekolah di Parlimen Larut itu pastinya lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan berkenaan.

Ahli Lembaga Pengarah PNB, Mohd Zaidi Dollah berkata, pendekatan memberi sumbangan alat tulis itu diambil khusus untuk meringankan beban murid-murid tersebut dan pihak sekolah agar persiapan mereka menghadapi UPSR lebih lengkap.

“Kita sedar bahawa di kawasan luar bandar seperti ini, rata-rata ibubapa berpendapatan kecil dan mempunyai sumber kewangan yang terhad. Jadi, apa salahnya PNB menabur ihsan kepada anak-anak yang menduduki UPSR pada Isnin ini.

“Alat tulis sangat diperlukan oleh murid-murid dan kami di PNB, memilih sumbangan ini untuk disalurkan kepada mereka yang bakal menduduki peperiksaan UPSR. Kami mendoakan mereka lebih bersemangat selepas ini.” Katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan tersebut di Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Idris II, Felda Ijok di sini, hari ini.

Mohd. Zaidi yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Larut berkata, sumbangan alat tulis itu disampaikan kepada murid-murid dari SK Bagan Baharu, Sekolah Modul Khas Redang Panjang, SK Sultan Idris II Felda Ijok dan beberapa buah sekolah lain.

Sementara itu, Penolong Kanan (Pentadbiran) SK Bagan Baharu, Shamsudin Ibrahim berkata, pihaknya melahirkan rasa syukur dengan sumbangan yang diberikan oleh PNB itu yang disifatkannya dapat meringankan beban keluarga murid berkenaan.

Katanya, pada setiap tahun UPSR, pihak sekolah akan mengadakan kutipan derma bagi membeli alat tulis untuk diberikan kepada murid-murid yang menduduki ujian penilaian tersebut.

“Saya berharap sumbangan ini akan memberi semangat kepada murid-murid dalam menghadapi peperiksaan nanti,” katanya.