KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengisytiharkan pengagihan pendapatan dana berharga tetap Amanah Saham Nasional Bhd. (ASB), Amanah Saham Malaysia (ASM) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2), masing-masing sebanyak 6.00 sen dan 6.50 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2017.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar, agihan pendapatan tersebut akan memanfaatkan lebih 500,000 pemegang unit ASM yang kini memegang 17.3 bilion unit dan 200,000 pemegang unit ASB 2 yang melibatkan 7.4 bilion unit.

“Pengagihan pendapatan kedua-dua dana membabitkan pembayaran berjumlah RM1 bilion bagi ASM dan RM384.7 juta bagi ASB 2,” katanya kepada pemberita pada taklimat media berkenaan Ulasan Prestasi 2016 dan Maklumat Terkini 2017 PNB di sini hari ini.

Turut hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Abdul Wahid turut mengumumkan agihan pendapatan untuk ketiga-tiga dana di bawah payung Amanah Saham Gemilang (ASG) iaitu ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan masing-masing adalah pada kadar 4.50, 4.25 dan 5.15 sen seunit.

“PNB juga memperuntukkan sejumlah RM138 juta untuk pengagihan pendapatan ketiga-tiga dana yang akan memanfaatkan lebih 140,000 pemegang unit yang melanggan 3.1 bilion unit,” katanya. – K! ONLINE

-Kosmo!