Melaka: Kontraktor pembersihan terkejut apabila mendapati sebatang pokok getah ganjil memiliki bonjolan sebesar pemeluk di bahagian tengah pokok ketika melakukan kerja menebang di Sungai Petai di sini, semalam.

Musridi Ramli, 38, berkata, kejadian itu pertama kali dialaminya sepanjang tujuh tahun melakukan kerja pembersihan di kawasan tanah terbiar, projek pembinaan kawasan perumahan, kebun mahupun di hutan dan pinggir kampung.

Katanya, dia diupah membersihkan kawasan getah itu bagi projek tanam semula seluas 4.1 hektar sejak dua minggu lalu namun terkejut apabila mendapati keadaan pokok ganjil itu.

“Sepanjang hidup saya dan beberapa pekerja lain tidak pernah menemui pokok seperti ini malah saya juga yakin ramai jarang melihatnya.

“Disebabkan kagum dan teruja, saya enggan menebangnya (pokok) bagi membolehkan orang ramai melihat sendiri pokok itu atau melakukan kajian, namun jika pemilik tanah meminta saya membersihkannya, saya akur,” katanya ketika ditemui.

Musridi berkata, kejadian itu dianggap antara ciri keagungan dan kebesaran Allah SWT yang menciptanya sebagai panduan dan pengajaran kepada semua.

“Setakat ini ada juga penduduk di kawasan sekitar datang mengambil gambar dan merakamkan video kenangan sebagai koleksi mereka.

“Bonjolan setinggi kira-kira dua meter itu kelihatan amat ganjil kerana seperti lilitan ular sawa yang sedang tidur jika dilihat dari jauh,” katanya – hmetro