IPOH – Pokok Ipoh yang tumbang dalam kejadian ribut April tahun lepas kini ditanam semula bagi  menghidupkan kembali pokok yang menjadi mercu tanda serta identiti bandar raya Ipoh.

Upacara penanaman pokok itu dilakukan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di lokasi sama ia tumbang Dataran Stesen Keretapi pagi tadi yang merupakan aktiviti pertama sempena bermulanya Program Permukiman Menteri Besar Daerah Kinta hari ini.

cd0d580f-77ea-49d1-9e8f-37c9017b8b72

Turut bersama Menteri Besar, barisan exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon, Datuk Rusnah Kassim, Datuk Bandar, Datuk Zambri Man, pegawai kerajaan serta Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Pokok tersebut merupakan simbolik kepada asal usul nama Ipoh yang ditanam Menteri Besar Perak Ketujuh, Allahyarham Datuk Seri Wan Mohamed Wan Teh pada 18 Januari 1980.

Ianya tumbang ekoran hujan lebat dan angin kencang pada April tahun lepas.

Dalam pada itu, Dr Zambry ketika ditemui pemberita berkata pelaksanaan tanaman semula pokok itu melengkapkan kesinambungan yang simbolik kepada bandar raya Ipoh.

“Kita bersama-sama tanam semula spesis pokok Ipoh yang baharu dan diharapkan supaya ia tumbuh subur untuk masa hadapan sekaligus kembali menjadi lambang kepada bandar raya ini dan MBI,”katanya.

Beliau berkata demikian di program Penanaman Pokok Ipoh dan Sarapan Pagi di Dataran Stesen KTM di sini hari ini.

Menyentuh isu kebersihan, Dr.Zambry menyifatkan tabiat masyarakat menjadi faktor penting kepada keadaan persekitaran.

“Setakat pengiktirafan sebagai bandar terbersih saja tidak mencukupi, ia perlu datang dengan sikap dan tabiat kita untuk sentiasa menjaga kebersihan serta tidak meletakkan tanggungjawab kepada pihak MBI semata-mata,”ujarnya.

Pokok Ipoh atau nama saintifiknya, Antiaris Toxicaria berasal dari Senegal (Timur), Ethiopia (selatan), Madagascar, Malaysia dan Indonesia.

Spesis pokok ini bersaiz besar dan mampi mencapai ketinggian 40 meter, batangnya berwarna kelabu picat dan diameter mampu membesar sehingga 40cm.

Dari segi nilai perubatan, dinyatakan bahawa daun dan akarnya digunakan untuk merawat penyakit mental manakala di Afrika dan Asia bijinya digunakan untuk mengubati cirit-birit.

Buahnya berwarna merah atau keunguan berdiameter 2cm dan boleh dimakan oleh manusia.