AYER TAWAR – Enam sekeluarga sebuah rumah terselamat apabila sebatang pokok sawit tumbang menghempap bahagian atas bumbung rumah Kampung Banjar, Beruas petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar, Mohd Azlan Mahiyidin mengesahkan menerima panggilan pada pukul 3.40 petang.

“Sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, didapati sebatang pokok sawit telah tumbang dan menghempap di bahagian bilik atas sebuah rumah kelas B berkeluasan 50 kaki x 40 kaki,” ujarnya ketika dihubungi Suara Perak.

Menurut Mohd Azlan, pokok sawit itu sudah reput yang menyebabkan ia tumbang.

“Pasukan bomba menggunakan gergaji rantai untuk memotong batang dan dahan pokok sawit,” tambah beliau.

Ketika kejadian, penghuni rumah tersebut seramai enam orang tidak berada di bahagian atas.

Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Abdul Aziz Abdul Rahim dan tamat sepenuhnya pada pukul 4.32 petang.