KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia memberi jaminan akan membawa isu pelaksanaan gaji minimum dalam mesyuarat Kabinet minggu depan.

Menterinya, M Kulasegaran, berkata isu terbabit perlu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet terlebih dahulu supaya segala perkara berbangkit dapat diberi perhatian.

“Saya akan membawa isu pelaksanaan gaji minimum RM1,050 dalam mesyuarat Kabinet minggu depan supaya semua menteri dapat memahami perkara itu dan mencari jalan penyelesaian.

“Kementerian perlu mendapatkan maklum balas menteri lain juga kerana faktor yang mendorong kepada pelaksanaan gaji minimum hanya RM1,050 disebabkan ketidakstabilan ekonomi serta hutang negara yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan sekumpulan pekerja diketuai Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Terdahulu, lebih 100 pekerja berhimpun secara aman di hadapan bangunan Parlimen, menggesa kerajaan mengkaji semula pelaksanaan gaji minimum RM1,050.

Perhimpunan anjuran MTUC turut disertai wakil dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Terdahulu, peserta berjalan dari Padang Merbok bermula jam 10.30 pagi sebelum berhenti kira-kira 100 meter dari pintu pagar bangunan Parlimen selepas dihalang anggota dan pegawai polis yang berkawal di situ.

Peserta perhimpunan yang diketuai Setiausaha Agung MTUC, J Solomon turut bersorak melaungkan ‘hidup rakyat, bantah 1050 dan bangkit rakyat.’