SUNGAI SIPUT 15 Mei – Polis akan memanggil seorang lelaki bagi memberi keterangan berhubung satu video tular yang memaparkan dirinya mendera seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan berbogel di Jalan Kampung Koboi, Taman Doven di sini semalam.

Rakaman video berdurasi 9 minit 33 saat yang tular sejak semalam itu menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki berbogel dalam keadaan berlutut dengan kedua-dua belah tangannya diangkat ke atas.

Dalam kejadian di halaman rumahnya itu, seorang lelaki yang dikatakan bapa tiri kanak-kanak itu dilihat seperti memarahi mangsa selain ‘mengacah-acahkan’ untuk memukulnya menggunakan penyapu.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu oleh ibu saudara mangsa lewat malam semalam selepas menonton rakaman video tersebut.

Katanya, siasatan mendapati lelaki berusia lingkungan 20-an yang ada dalam rakaman video tersebut merupakan bapa tiri kepada kanak-kanak berusia 11 tahun itu.

“Siasatan sedang dijalankan dan pihak polis akan melengkapkan siasatan dengan kadar segera.

“Siasatan kes ini dibuka mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE