IPOH: Polis akan mengambil keterangan Anggota Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham berhubung siasatan kes kebocoran maklumat sulit fail kerajaan negeri.

Ketua Polis negeri Datuk Hasnan Hassan berkata keterangan Ngeh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan diperlukan untuk melengkapkan siasatan.

“Sepucuk surat telah dihantar pada 26 Jan lalu kepada Ngeh bagi tujuan menjemput beliau memberi percakapan kepada pegawai penyiasat kanan polis.

“Polis sedang melengkapkan siasatan bagi tujuan menyemak sama ada kes tersebut mempunyai keterangan yang mencukupi atau tidak dan kes itu kini dalam proses polis untuk membuat keputusan terhadap kes yang disiasat mengikut Akta Hasutan 1948,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan kes itu menumpukan isu jenayah sebagaimana yang dilaporkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Hasnan berkata keterangan kesemua saksi yang terlibat dalam kes itu telah diambil dan mereka memberi kerjasama sepenuhnya bagi pihak polis mendapatkan keterangan berkaitan.

“Sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada beliau, pihak polis akan menggunakan peruntukan Seksyen 111 Kanan Prosedur Jenayah (Akta 593) sebagai satu arahan untuk beliau menghadiri penyiasatan ini,” katanya.

— BERNAMA