LUMUT: Polis Diraja Malaysia akan menjalankan pemeriksaan kesemua enjin dan tangki minyak yang terdapat pada bot milik Pasukan Polis Marin (PPM) dan Komando VAT 69 dalam masa terdekat ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Negeri (KDNKA), Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata pihaknya akan mengeluarkan arahan mengenai perkara itu di setiap negeri termasuk di Sabah dan Sarawak bagi mengelak berlakunya kejadian bot meletup pada masa akan datang.

“Kami mahu kesemua enjin bot diperiksa termasuk tangki minyak pada setiap bot kerana kami tidak mahu insiden letupan ini berlaku lagi.

“Setakat ini, kami sedang menunggu hasil siasatan daripada pasukan unit bom, forensik dan PPM mengenai insiden bot yang meletup semalam dan kami akan memantau keadaan mangsa yang terlibat,” katanya kepada pemberita di Hospital Seri Manjung di sini, Selasa.

Terdahulu, Muhammad Sabtu meluangkan masa hampir satu jam melawat empat anggota polis yang cedera akibat letupan sebuah bot marin semalam, yang ditempatkan di Wad Pembedahan dan Wad Ortopedik HSM untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Dalam kejadian 9.30 pagi semalam, lapan anggota polis cedera akibat letupan sebuah bot marin di Jeti Marin, Kampung Acheh, di Manjung.

Bot itu meletup selepas mengalami kerosakan teknikal di bahagian enjin, mengakibatkan kesemua mangsa yang duduk di kiri dan kanan bot tercampak keluar termasuk juga pengendali bot berkenaan.

Kesemua mereka merupakan anggota Komando 69 dari PGA Ulu Kinta, Ipoh yang sudah lima hari menjalani kursus bermula 10 Feb dan dijadual berakhir pada 24 Feb ini.

Muhammad Sabtu berkata setakat ini kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil dan dua anggota polis mendapat rawatan di hospital sekitar Ipoh.

“Dua anggota yang cedera masing-masing dihantar untuk dirawat di Hospital Pantai Ipoh dan Hospital Raja Permaisuri Bainun.

“Keempat-empat anggota yang dirawat di hospital ini dalam perancangan untuk mendapatkan rawatan di Ipoh namun masih menunggu laporan daripada doktor. Selebihnya telah pun dibenarkan pulang,” katanya.

Muhammad Sabtu berkata pihaknya juga menangguhkan serta-merta kursus pengendalian bot berkenaan yang melibatkan 31 anggota polis termasuk mangsa sehingga siasatan mengenai punca insiden itu selesai.

Beliau turut berkata pihaknya telah menghantar bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa termasuk pengurusan persekolahan anak-anak anggota yang terlibat. BERNAMA