GEORGETOWN: Polis mengambil keterangan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, hari ini bagi membantu siasatan kes menghasut kanak-kanak supaya membenci kerajaan ketika program pelancaran kelas tuisyen dekat Jelutong, baru-baru ini.

Dua pegawai Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dilihat memasuki pejabat Guan Eng di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), di sini, pada jam 2.15 petang tadi.

Mereka kemudian mengambil keterangan Guan Eng yang diiringi peguamnya, RSN Rayer, bermula jam 2.55 petang.

Sumber berkata, rakaman percakapan itu diambil bagi melengkapkan siasatan berhubung kes terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini, beberapa pihak sudah dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes itu dan kita akan melengkapkan kertas siasatan mengenainya,” katanya.

Sebelum ini, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik membuat laporan polis ke atas Guan Eng kerana didakwa berpolitik menggunakan kanak-kanak ketika merasmikan sebuah pusat tuisyen di Jelutong pada 17 Mac lalu.

Pada acara itu, Guan Eng menyanyikan lagu bermelodi ABC yang diubah liriknya kepada GST dan berbaur politik itu ketika melancarkan Pusat Tuisyen Rakyat di Flat Mutiara Idaman 2, Jelutong, di sini.

Rakaman video berdurasi 32 saat yang menunjukkan Guan Eng menyanyikan lagu terbabit di hadapan murid sekolah itu viral di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi tetapi kebanyakannya menyelar tindakan terbabit – berita harian