JOHOR BAHRU – Bernama melaporkan Polis akan mengambil tindakan berterusan terhadap pesalah trafik melibatkan kenderaan warga asing termasuk Singapura yang liat menjelaskan saman tertunggak atas pelbagai kesalahan di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, sekiranya terdapat keperluan, pihaknya akan memaklumkan kepada kerajaan untuk polis mengambil tindakan lebih tegas berhubung kesalahan trafik oleh warga asing.

“Apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa Singapura*kita (PDRM) tidak campur, itu urusan negara dia. Tetapi, bagi pesalah trafik (warga asing) yang melakukan kesalahan trafik di negara kita*kita akan ambil tindakan berterusan seperti sekat, senarai hitam dan kita mahu mereka menjelaskan saman trafik tertunggak yang begitu besar jumlahnya.

“Jadi, usaha berterusan sedang dibuat termasuk mengesan kenderaan-kenderaan yang masuk ini. Apa yang kita buat ini adalah rutin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasukan Pancaragam PDRM Zon Selatan di sini hari ini.

Beliau mengulas isu berkaitan tindakan Singapura yang melarang kenderaan asing yang mempunyai saman daripada memasuki negara itu bermula dua hari lepas (1 April) – Bernama