KUALA LUMPUR : Polis belum menerima sebarang notis berhubung penganjuran kongres bagi membantah pembelajaran Jawi di sekolah vernakular yang akan dianjurkan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) di Kajang, pada 28 Disember ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata penganjuran kongres berkenaan tidak perlu mendapatkan permit seperti tertakluk mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Berdasarkan maklumat, kongres ini dijangka dianjurkan di dalam dewan, bukannya di tempat awam, jadi mereka tidak perlu mendapatkan permit untuk meneruskan program berkenaan.

“Bagaimanapun, mereka perlu menghantar notis kepada polis sebagai pemberitahuan berhubung penganjuran kongres itu. Kami belum menerimanya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baru-baru ini, Dong Jiao Zong dilapor menggesa pertubuhan Cina lain di negara ini mendaftar untuk menghadiri kongres berkenaan yang dijadual berlangsung di Kolej New Era di Kajang, kononnya untuk menjaga kedaulatan pihak lembaga sekolah vernakular.

Isu pembelajaran Jawi mencetuskan perbalahan pelbagai pihak sehingga mengheret ke kancah perkauman serta campur tangan parti politik berteraskan kaum Cina seperti MCA atau dengan keahlian majoriti dari kaum berkenaan seperti GERAKAN.

Pada 18 September lalu, GERAKAN memfailkan saman terhadap Kerajaan Pusat bagi mencabar keputusan kerajaan yang mahu melaksanakan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular yang disifatkan parti itu boleh membawa persepsi Islam disebarkan kepada pelajar agama lain.

GERAKAN melalui Presidennya, Dominic Lau Hoe Chai menamakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Timbalannya, Teo Nie Ching dan Kerajaan Persekutuan sebagai responden.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 28 November, menolak permohonan parti politik berkenaan.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Amarjit Serjit Singh yang memutuskan tulisan Jawi adalah sebahagian daripada bahasa Melayu yang juga Bahasa Kebangsaan.

Amarjit juga dilaporkan berkata, pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi oleh kerajaan tidak bertentangan dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan mengikut Perlembagaan Persekutuan.