IPOH: Polis Perak menahan dua lelaki tempatan berusia 29 dan 30 tahun kerana disyaki aktif mengedar dadah di sekitar bandaraya ini sejak dua bulan lalu, di sebuah rumah di Taman Klebang Mutiara di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, ACP V. R. Ravi Chandran berkata, dalam serbuan kira-kira jam 3.30 petang itu, pihaknya merampas dadah jenis heroin dengan anggaran berat 1,365 gram serta dadah jenis syabu seberat 130 gram yang dianggarkan bernilai RM67,275.

“Polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah tersebut dalam paket kecil serta dua buah kereta, sebuah lori dan beberapa barang kemas yang dianggarkan bernilai RM69,350,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah manakala ujian saringan air kencing mendapati salah seorang suspek berusia 29 tahun positif dadah jenis ganja.

Katanya, semua rampasan dadah itu mampu menampung kira-kira 63,000 penagih dadah sekitar bandaraya ini bagi tempoh empat bulan.

ACP Ravi Chandran berkata, kedua-dua suspek yang tidak bekerja direman tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.