IPOH : Polis berjaya memberkas dua lelaki tidak sampai dua jam selepas mereka menyamun sebuah hotel di Menglembu, di sini, dengan menggunakan pistol seorang anggota polis yang tercicir.

Mereka melakukan jenayah itu pada 24 Januari lalu, menggunakan sepucuk pistol yang dilaporkan hilang di Tanjung Rambutan pada 15 Januari lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, mereka diberkas sepasukan pegawai dan anggota yang membuat rondakan selepas mendapat makluman mengenai kejadian itu pada 4.10 pagi hari berkenaan.

“Dalam tangkapan tersebut, kita juga telah merampas sepucuk pistol P99 yang mana pistol ini pula telahpun tercicir oleh seorang anggota polis kita di kawasan Tanjung Rambutan pada 15 Januari.

“Kedua-dua suspek yang ditangkap ini telahpun dituduh di mahkamah dan pihak kita masih lagi menyiasat tentang kehilangan pistol tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat dan serah menyerahkan tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak di Mess Pegawai Kanan PDRM Perak di sini, hari ini.

Razarudin berkata, selain membuka kertas siasatan (IP), siasatan dalaman juga dijalankan di bawah Ketua Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard.

Menurutnya, kedua-dua suspek, berumur 20 dan 27 tahun, yang masing-masing mempunyai satu rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah telah didakwa di mahkamah.

Pada majlis itu, beliau menyaksikan serah terima tugas antara Senior Asisten Komisioner V.R Ravi Ravichandaran yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Narkotik (Risikan / Perhubungan Antarabangsa) JSJN Bukit Aman kepada Ketua JSJN Perak yang baharu Asisten Komisioner Lee King Chuan.

Beliau turut menyempurnakan pemakaian pangkat kepada Superintendan Ng Boon Huat yang akan memegang jawatan Pegawai Turus Pendataan / Analisa JPJKK PDRM Perak.