TELUK INTAN: Polis memberkas lapan lelaki dan merampas senjata api, bom tangan tiruan, peluru, parang dan dadah dalam serbuan di sebuah bengkel kenderaan di Labu Kubong dekat sini, pada 27 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, dalam serbuan 1.30 pagi itu, suspek berusia dalam lingkungan 25 hingga 35 tahun ditahan bersama ganja seberat 163 gram, syabu 55 gram dan heroin 25 gram.

Dalam serbuan itu, polis merampas sepucuk revolver.22, sepucuk pistol dan bom tangan tiruan, 49 butir peluru 9mm, sepasang gari, dua kelopak peluru dan enam bilah parang.

“Dadah ini masuk daripada golden triangle, jadi inilah sumber-sumber di mana dadah dibawa masuk daripada darat, laut, udara dan juga sempadan. Jadi, saya ingin menegaskan di sini bahawa polis akan terus mempertingkatkan usaha pengumpulan maklumat yang tepat untuk menentukan peperangan kita ni terus menghasilkan kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak pada Rabu. Turut hadir Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan.

Mohd Mokhtar berkata, empat daripada suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua yang ditahan itu positif dadah.

Mereka direman sehingga 9 Januari ini untuk siasatan.

Katanya, lapan lelaki tersebut merupakan antara 99 penagih dadah yang ditahan dalam Ops Bersepadu yang dilakukan dari 27 hingga 29 Disember lalu.

Menurut beliau, sepanjang tiga hari itu, polis melancarkan 86 serbuan di sekitar Hilir Perak dan penagih yang ditahan berumur dalam lingkungan 18 hingga 55 tahun.

Daripada jumlah tersebut, 81 orang merupakan rakyat tempatan, Kemboja (5), Myanmar (8), Thailand (3) dan Indonesia (2) dengan nilai keseluruhan rampasan dadah RM7,078.