IPOH: Tindakan seorang lelaki yang tergamak mencuri beg tangan kepunyaan seorang jemaah warga emas di masjid berhampiran Meru menemui padah apabila ditahan polis semalam (Isnin).

Dalam kejadian sekitar pukul 8.15 pagi Sabtu lepas, pengadu iaitu mangsa telah pergi ke bilik air dan meninggalkan beg tangannya seperti biasa di bahagian luar.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mangsa kemudiannya pergi ke lokasi beg ditinggalkan sebelum mendapati kesemua barangannya hilang.

“Mangsa yang berusia 61 tahun dan seorang surirumah mendapati beg tangan yang mengandungi kad pengenalan, telefon bimbit dan wang tunai turut hilang,”katanya kepada pemberita.

Chang Keong berkata, hasil risikan lanjut pihak polis telah menahan seorang suspek lelaki di perkarangan masjid pada Isnin sekitar jam 2.15 petang berdasarkan rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV).

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek berusia 39 tahun yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan, mempunyai 11 rekod lampau membabitkan lapan kes jenayah, dua kes dadah dan satu kes Ordinan Pencegahan Jenayah(PCO),” ujarnya.

Tambah Sum, dalam tangkapan itu, pihaknya turut merampas sebuah motosikal jenama Suzuki, beg silang hitam, pistol angin berjenama Colt,sepasang sarung tangan, sehelai baju,kopiah, dan empat buah dompet pelbagai warna.

Jelas beliau, kes akan disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.