KUALA KANGSAR: Polis memberkas seorang lelaki yang dikatakan sering memukul isteri dan anak mereka di Taman Sri Emas di sini, pada Khamis.

Lelaki berumur 36 tahun dan tidak bekerja itu diberkas ekoran laporan polis yang dibuat isterinya pada 8.20 pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ismail berkata, pengadu mendakwa, pada petang Rabu, suspek mengamuk memarahi anak perempuan sulong mereka yang berusia 13 tahun, dengan menarik rambutnya.

Katanya, pengadu yang berumur 34 tahun, cuba menghalang tetapi telah ditampar sambil rambutnya direntap dan kepalanya dihentak di kerusi.

“Suspek telah memulas tangan pengadu sebelah kiri ke belakang, menumbuk perut, menghentak kepalanya di dinding dan menariknya ke lantai, mencekik lehernya hingga menyebabkan pengadu sukar bernafas.

“Anak mereka menjerit meminta suspek melepaskan ibunya, jika tidak mungkin pengadu sudah mati.

“Kejadian ini menyebabkan pengadu cedera dan anak pengadu mengalami trauma,” katanya di sini.

Menurut Razali, hasil siasatan awal didapati suspek sering memukul pengadu dan dua anak mereka yang berusia 5 dan 13 tahun.

Katanya, pasangan suami itu sedang dalam proses perbicaraan perceraian di Mahkamah Syariah Kuala Kangsar.

Tambahnya, pengadu juga telah menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar selepas kejadian tersebut.

Pasangan itu mempunyai tiga orang anak kandung dan seorang anak angkat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan 323/326a Kanun Keseksaan.