KUALA LUMPUR: Polis bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dari segi pengetahuan dan kepakaran bagi menangani trend baharu jenayah komersial membabitkan mata wang digital atau kripto, Bitcoin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata walaupun kurang lima kes berkenaan dilaporkan setakat ini, pihaknya sentiasa bersiap siaga.

“Kita sedang menjalankan siasatan ke atas kes penipuan Bitcoin yang dilaporkan. Jumlah kerugian juga amat minimum.

“Walaupun jumlah kes dan kerugian masih terkawal, polis bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) akan memperkasakan anggota serta pegawainya untuk menangani isu ini,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Bukit Aman di sini, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, berkata BNM membantu pihaknya dengan kongsikan pengetahuan berhubung penipuan mata wang kripto, kepada anggota dan pegawai jabatan terbabit.

“Kes penipuan yang kita terima buat masa ini membabitkan pencerobohan sistem perlombongan Bitcoin dan penipuan pembelian mata wang kripto itu.

“Kes masih rendah tetapi kita akan memastikan kakitangan jabatan ini bersedia menangani kes sebegini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sama.

Pada 2014, BNM mengeluarkan kenyataan mengenai Bitcoin yang tidak diiktiraf sebagai sah diperlakukan di Malaysia.

Tahun lalu, BNM dilaporkan bercadang mengeluarkan garis panduan mengenai mata wang kripto dengan memberi tumpuan terhadap aspek antipengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Bitcoin adalah satu daripada mata wang kripto yang lahir secara digital dan digunakan sebagai mata wang untuk memastikan keselamatan suatu transaksi kerana semua transaksi dijalankan menerusi kod.

Pernah dilaporkan, kajian Forum Kewangan Islam 2016 menunjukkan nilai Bitcoin lebih tinggi daripada minyak, emas dan mata wang Euro.

Antara mata wang kripto selain Bitcoin ialah Ethereum, Zcash, Dash, Tezos, Ripple dan Monero – berita harian