GEORGETOWN: Polis narkotik Pulau Pinang menahan dua lelaki dan membongkar kegiatan mereka yang menjadikan sebuah pangsapuri sebagai makmal dadah dalam serbuan di Bandar Baru Ayer Itam, di sini Isnin lalu.

Dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis syabu dan heroin yang jumlah keseluruhannya dianggarkan bernilai RM723,000.

Ketua Polis negeri Datuk A Thaiveegan berkata, dalam serbuan pertama pada jam 4 petang pihaknya menahan lelaki berusia 42 tahun di kawasan Ayer Itam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut polis menemui 31 paket plastik mengandungi heroin 14.5 kilogram (kg) dalam dua beg pakaian.

“Susulan itu, suspek membawa polis ke sebuah rumah lain dan hasil pemeriksaan lanjut kita menemui 17 paket heroin seberat 8.4 kg dan enam paket syabu seberat 3.1 kg.

“Kita kemudian menahan seorang lagi lelaki berusia 52 tahun di Paya Terubong dan suspek membawa polis ke sebuah rumah di Lengkok Angsana,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri hari ini.

Thaiveegan berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati rumah terbabit dijadikan makmal memproses dadah oleh dua suspek berkenaan.

“Dalam serbuan di makmal berkenaan kita merampas heroin base seberat 1.1 kg, heroin (8.4kg) dan serbuk kafein (86.3kg).

“Kita juga merampas wang tunai RM37,000 dan menyita akaun serta kenderaan suspek,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan mereka mungkin menggunakan kepakaran sendiri untuk menghasilkan dadah berkenaan.

“Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kita juga sedang menyiasat kemungkinan ada beberapa individu lain yang bersekongkol dengan dua suspek berkenaan,” katanya – berita harian