IPOH: Polis telah membuka satu kertas siasatan berkenaan kes pelajar yang mendakwa ditampar dan ditumbuk oleh anggota polis berikutan tidak berhenti di lampu isyarat di Chemor pada awal pagi Isnin lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata pelajar tersebut telah mendakwa dirinya dikasari polis selepas melarikan diri daripada kenderaan peronda pada insiden berkenaan.

“Ekoran laporan polis yang dilakukan pelajar (pengadu) itu,kami telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan untuk kes ini.

“Pelajar tersebut juga telah diarahkan untuk menjalani rawatan di hospital yang berdekatan,”katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Bahagian Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput,Perak.

Sementara itu, Yahya berkata pihaknya telah membuat laporan polis yang akan disiasat di bawah Seksyen 24 Akta Polis.

“Seksyen ini memperuntukkan kepada pihak polis untuk memberhentikan dan memeriksa kenderaan yang disyaki melakukan kesalahan terhadap undang-undang lain yang berkuatkuasa.

“Kesalahan ini merupakan satu kesalahan yang boleh ditangkap tanpa waran, boleh didenda tidak lebih RM500 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya,”katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan insiden seorang pelajar lelaki yang mendakwa dirinya ditampar serta ditumbuk beberapa kali oleh anggota polis di kawasan berhampiran Hospital Sungai Siput (utara).

Dalam Kejadian itu sekitar 3 pagi itu, insiden dipercayai berlaku apabila pelajar berkenaan tidak memberhentikan keretanya selepas melanggar lampu isyarat merah dan berlaku kejar-mengejar sehingga 15 minit ketika polis cuba menahannya.