SERDANG: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan dibuat oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Reform Batu Caves (REFORMBC) dan Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia (PHAAM) di depan pintu masuk kuil Batu Caves, Gombak, semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, seramai 200 penyokong NGO terbabit berkumpul di perkarangan kuil Batu Caves sejak 8 pagi hingga 12 tengah hari, semalam.

“Bagi mengawal keadaan, seramai 19 pegawai dan 113 anggota polis pelbagai cawangan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dikerahkan ke lokasi berkenaan untuk memantau perhimpunan itu.

“Difahamkan matlamat perhimpunan itu bagi mendesak pengerusi kuil Batu Caves, Tan Sri R Nadarajah supaya meletak jawatan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di IPD Serdang, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, pihak kuil Batu Caves juga mengambil langkah awal dengan menghalang dan menutup pintu hadapan kuil berkenaan dan menyediakan satu pasukan keselamatan untuk menjaga keselamatan pengunjung.

“Pihak kuil berkenaan hanya membenarkan orang awam masuk untuk bersembahyang saja. Penyokong NGO yang berkumpul secara aman turut bersembahyang di pintu hadapan kuil berkenaan.

“Malah, Pengerusi PHAAM, Arun Dorasamy turut membuat ucapan selama 30 minit dalam perhimpunan itu. Sepanjang perhimpunan itu keadaan terkawal dan penyokong bersurai secara aman,” katanya yang memaklumkan perhimpunan berkenaan dijalankan tanpa kelulusan permit.

Beliau berkata, satu laporan dibuat oleh Ketua Balai Polis Selayang berhubung kejadian itu.

“Kertas siasatan berhubung kejadian itu sudah dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Pada masa sama, kami akan berhubung dengan kumpulan ini (NGO) untuk mengetahui masalah dihadapi,” katanya – berita harian