SERI ISKANDAR – Empat suspek lelaki berusia 20-an diburu Polis Perak Tengah dipercayai terbabit dalam kes mencuri serta pecah masuk hotel dan sekolah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek pertama yang diburu seorang lelaki yang terlibat dalam kes curi di sebuah hotel di Seri Iskandar, Jumaat lalu.

“Suspek berkenaan dipercayai terbabit kes curi wang di sebuah hotel di Seri Iskandar dalam kejadian pada jam 6.40 pagi, yang menyebabkan kehilangan RM1,720 di dalam laci hotel tersebut.

“Turut hilang RM1,000 yang berada di dalam dompet pengadu serta dua telefon bimbit miliknya yang diletakkan di atas kaunter ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita.

Tambahnya ketika kejadian pengadu yang juga mangsa sedang tidur di belakang kaunter selain pintu hotel turut berkunci.

Sementara itu, polis juga sedang mengesan tiga lelaki yang terlibat dalam kejadian pecah masuk melibatkan salah sebuah sekolah menengah di Bota yang berlaku 17 Jun lalu.

“Pihak kami juga giat mengesan tiga lagi lelaki yang berbadan kurus dan tinggi membabitkan kes pecah masuk pejabat pengetua di sebuah sekolah menengah di Bota dan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian berlaku antara jam 2.39 hingga 3.30 pagi.

“Wang sumbangan zakat dan pihak lain berjumlah RM3,000 yang disimpan dalam sampul di dalam kabinet besi pejabat pengetua untuk diagihkan kepada pelajar sekolah berkenaan turut hilang,” katanya.

Menurutnya lagi, rakaman CCTV di hotel berkenaan berjaya merakam wajah suspek namun bagi kes pecah masuk pejabat pengetua sekolah hanya wajah seorang suspek berjaya dirakam selepas dia menutup kepalanya menggunakan baju sahaja.

“Dua lagi suspek tidak berjaya dirakam wajahnya ekoran menutup sepenuhnya wajah mereka dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Bagi yang mempunyai maklumat untuk suspek kes curi di hotel boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nor Hasikin Saberi di talian 013-9023457 dan Inspektor Khoo Thean Heng (010-8862163) untuk kes pecah bangunan atau terus memaklumkan kepada balai di talian 05-3712222,” katanya – sinar