KUALA LUMPUR: Orang ramai atau saksi kejadian kes langgar lari hingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Kilometer 33, susur keluar Lebuhraya Kesas Khamis lalu digesa tampil membantu siasatan polis.

Ini bagi membolehkan pihak polis mengenalpasti individu lain yang terbabit dalam kemalangan di susur keluar dari arah Klang, menghala ke lampu isyarat Persiaran Kuala Selangor, hingga menyebabkan kepala mangsa, Ahmad Tarmizi Ahad Yani, 26, digilis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin bin Mat Taib, berkata pihaknya meminta semua pihak yang mempunyai maklumat tampil supaya kes berkenaan dapat diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Saya amat memandang serius kes langgar lari seperti ini, seharusnya individu atau pihak yang terbabit tidak melarikan diri sebaliknya mempunyai sikap bertanggungjawab selepas terbabit dalam kejadian kemalangan itu.

“Bagaimanapun, sekiranya pelaku atau mereka yang terbabit dalam kemalangan ini masih gagal untuk tampil, kami akan berusaha untuk mengesan dan tangkap mereka,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau turut memberi amaran akan mengambil tindakan sama ke atas mereka yang turut cuba bertindak melarikan diri sekiranya terbabit dalam kejadian seperti ini.

“Cuba fikirkan perasaan ahli keluarga mangsa apabila mereka tidak tahu punca sebenar mangsa terbabit dalam kemalangan dan bagaimana kalau perkara sama berlaku pada diri kita,” katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 11.30 pagi itu, mangsa Ahmad Tarmizi yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda, dari arah Klang menghala ke simpang lampu isyarat Persiaran Kuala Selangor, Shah Alam, ditemui meninggal dunia di tempat kejadian selepas dilanggar sebuah kenderaan yang tidak diketahui.

Hasil siasatan awal polis di tempat kejadian menemui kesan calar atas jalan. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Darvinraj di talian 016-2938278 – berita harian