TAPAH: Polis sedang memburu tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes tetak di hadapan premis perniagaan KFC di Bidor pada 19 Oktober lalu.

Ketiga-tiga lelaki yang diburu ialah K. Ganesan, 36, dengan alamat terakhir di Bidor Station, Bidor; J. Lingan, 25, beralamat di Bandar Baru Slim Indah dan Muhammad Isa Hither Ali, 26, beralamat di Kampung Cegar Tambahan, Bidor.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, ketiga-tiga suspek diperlukan bagi membantu siasatan kes tetak melibatkan G. Premkumar, 21, dan T. Nahvin Raj, 21.

“Premkumar mengalami kecederaan di bahagian belakang badannya setelah ditetak oleh sekumpulan lelaki yang membawa parang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah bersama-sama ibunya.

“Manakala, Nahvin Raj pula telah dikejar oleh 15 orang di hadapan premis yang sama dan mengalami kecederaan di bahagian belakang serta menerima tujuh jahitan di kepala setelah gagal melarikan diri daripada suspek.

“ Kereta mangsa turut dilanggar suspek. Kedua-dua mereka kini sedang mendapatkan rawatan dan berada dalam keadaan stabil,” katanya pada sidang media khas di sini pada Isnin.

Som Sak berkata, motif kejadian dipercayai akibat dendam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Katanya, semakan yang dibuat mendapati salah seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau.

Dalam kes berasingan, Som Sak memberitahu, polis telah menahan tiga individu dan merampas dadah jenis heroin bernilai RM14,000 dalam serbuan di Taman Desa Damai, Bidor pada Jumaat lalu.

Dalam serbuan pada jam 11.30 malam di sebuah rumah, polis turut menjumpai 14 bilah parang panjang dan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah.

Som Sak berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia 25 hingga 50 tahun yang ditahan itu dipercayai aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah sejak beberapa bulan lalu.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin serta methamphetamine.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Merbahaya 1958,” ujar beliau.