IPOH – Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands meminta kerjasama semua pengguna jalan raya supaya tidak meletakkan kenderaan di kawasan larangan, khususnya di bahu jalan di Cameron Highlands bagi mengelakkan kesesakan lalulintas teruk sempena sambutan Hari Malaysia, pada Jumaat dan Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Ashari Abu Samah berkata, ia berikutan pusat peranginan itu dijangka mengalami peningkatan berganda kenderaan yang mengakibatkan jalan padat dan sesak di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, lokasi dijangka mengalami kesesakan adalah di sekitar kawasan Kea Farm, pekan Brinchang dan pekan Tanah Rata yang merupakan kawasan tumpuan pelancong serta terletak berhampiran jalan utama.

“Penunggang motosikal dan pemandu kenderaan dinasihatkan agar sentiasa berhemah dan berwaspada, memerhatikan dengan cermat pengguna jalan raya lain serta tidak menjadi punca berlakunya kesesakan dan mengelak kemungkinan terlibat kemalangan.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan mematuhi had laju yang dibenarkan, tidak memotong barisan dan dilarang meletakkan kenderaan di bahu jalan terutama di kawasan yang boleh menyebabkan kesesakan.

“Polis juga telah membuat persediaan serta akan menambah anggota yang bertugas bagi membantu melancarkan trafik di sini. Polis akan menjalankan penguatkuasaan sepenuhnya dan toleransi sifar atas  kesalahan ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ashari menambah, ketika cuti panjang hujung minggu lepas, berlaku kesesakan teruk di Cameron Highlands akibat pertambahan kenderaan dan pelancong yang luar biasa.

Dianggarkan lebih kurang 30,000 kenderaan dan hampir 100,000 pengunjung datang ke Cameron Highlands pada cuti umum minggu lepas.

“Pengunjung juga dinasihatkan agar merancang perjalanan mereka dan membuat tempahan penginapan terlebih dahulu agar tiada lagi kejadian pengunjung terpaksa tidur di dalam kenderaan,” tambah beliau lagi.

Ashari juga menasihatkan penunggang motosikal yang berkonvoi untuk mengikut undang-undang dan tiada perkhidmatan ‘marshall’ dibenarkan bagi tujuan iringan atau menahan kereta.

Beliau turut meminta pengunjung yang pertama kali ke Cameron Highlands supaya peka dengan papan isyarat lalu lintas di sekitar Pekan Brinchang.

“Laluan berkenaan dijadikan laluan sehala bagi melancarkan lagi pergerakan kenderaan.

“Pelancong mahupun orang tempatan diminta mematuhi laluan sehala berkenaan dan tidak memandu atau menunggang melawan arus untuk mengelak risiko berlaku kemalangan,” katanya.