IPOH: Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai anggota kumpulan ‘Geng Anuar’ bagi membantu siasatan kes samun seorang lelaki warga emas pada 27 September lalu yang melibatkan kerugian bernilai RM63,000.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dua individu yang dijejaki itu dikenali sebagai Qhyirull Anwar Ayub, 29, dari Jelapang Tambahan, Ipoh dan Mohamad Fauzi Adris, 23, dari Kepala Batas, Pulau Pinang.

Katanya, mereka dicari susulan kejayaan pihak polis menahan dua suspek yang dipercayai anggota kumpulan geng tersebut yang disyaki terbabit menyamun mangsa.

Beliau berkata, kedua-dua suspek lelaki itu yang berumur dalam lingkungan 41 tahun ditahan di sekitar Ipoh tiga hari selepas insiden samun berkenaan.

“Pada hari kejadian, mangsa yang merupakan seorang pengumpul barangan berjenama telah berjumpa dengan sekumpulan empat lelaki di hadapan sebuah pusat karaoke di Station 18 di sini bagi urusan jual beli jam tangan.

“Mangsa diminta menaiki kereta Proton suspek untuk melihat jam berkenaan. Bagaimanapun, sebaik menaiki kenderaan mangsa diikat dan dipukul sebelum diturunkan di Jalan Sungai Siput Selatan.

“Mangsa mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM63,000 selepas tiga utas jam tangan jenama Omega, telefon bimbit, beg jenama Louis Vuitton, tiga cincin dan wang tunai disamun kumpulan itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Chang Keong berkata, pihaknya sedang mengesan dua lagi lelaki bagi membantu siasatan kes itu dan turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek agar menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.