BAGAN SERAI 19 Mei – Polis menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi mengesan dua lelaki yang melarikan diri dalam nahas kemalangan mengorbankan tiga warga Myanmar di Kilometer 190.6 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah selatan, hari ini.

Kemalangan melibatkan kenderaan utiliti sukan (SUV), Nissan X-Trail yang terbabas sendiri kira-kira pukul 7.30 pagi itu dinaiki oleh kesemua 16 warga Myanmar dalam lingkungan umur 20-an tanpa pengenalan diri serta dipercayai baru memasuki negara ini secara tidak sah.

Kesemua mereka terdiri daripada 15 lelaki dan seorang wanita. Ekoran kemalangan itu, tiga daripadanya maut selepas tercampak keluar dan jatuh di bawah jambatan lebuh raya sementara tujuh parah dan empat lagi cedera ringan.

Empat individu yang cedera ringan itu bagaimanapun ditahan oleh pihak polis di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dua lelaki warga Myanmar yang melarikan diri itu merupakan pemandu dan penumpang hadapan SUV berkenaan.

Beliau berkata, polis turut berusaha mengesan pemilik SUV tersebut yang didaftarkan atas nama M.Vasudavan, 57, seorang lelaki tempatan yang beralamat di Taman Pelangi, Kampar.

“Hasil semakan mendapati SUV berkenaan memiliki 13 saman pandu laju, dua saman halangan lalu lintas dan satu sama tidak memakai tali pinggang keledar.

“Kita juga telah memohon bantuan forensik untuk mengesan cap jari selain berhubung dengan pihak kedutaan Myanmar bagi mendapatkan bantuan jurubahasa kerana berdepan masalah komunikasi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE