KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang menendang seorang wanita tanpa sebab dalam satu kejadian di jejantas Bank Negara di sini sedang dicari.

Video berdurasi 14 saat yang tular di laman media sosial itu memaparkan imej seorang lelaki dengan secara tiba-tiba menendang seorang wanita yang sedang menuruni tangga jejantas tersebut.

Wanita yang jatuh terduduk itu memandang ke arah lelaki tersebut namun suspek berjalan secara bersahaja tanpa menunjukkan sebarang reaksi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, akibat daripada tindakan itu, mangsa yang merupakan kakitangan Bank Negara me­ngalami sakit pada bahagian belakang badan.

“Suspek dilihat terus berjalan de­ngan tenang menyeberangi jalan menuju ke bangunan Bank UOB selepas dia menendang mangsa.

“Berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), kita percaya suspek adalah individu sama pernah terlibat dalam satu lagi kes serupa. Dia telah dibebaskan dari penjara pada Julai tahun lalu,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini semalam.

-Kosmo! Online