SUNGAI SIPUT: Polis berjaya menahan lapan lelaki yang sedang leka membungkus air ketum dalam sebuah pondok di Kampung Talang Tengah, Jalan Felda Lasah dekat sini petang semalam.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Sungai Siput Deputi Superintenden A. Pamnaswaran, dalam serbuan pukul 5 petang itu, polis turut merampas 380 bungkusan air ketum.

Katanya, kesemua suspek berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput dan Balai Polis Salak Bharu.

“Ketika serbuan dijalankan, kesemua suspek berkenaan sedang melakukan proses membungkus air ketum,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput pada Khamis.

Menurut beliau, dalam serbuan itu, polis turut merampas peralatan memasak termasuk satu tong gas, lapan penapis kain, sebatang sudip kayu, 12 kotak ubat batuk dan dua periuk aluminium.

Pamnaswaran berkata, siasatan polis juga mendapati suspek mengambil bekalan daun ketum dari Langkap serta Teluk Intan dan pemeriksaan di kawasan pondok itu juga menemukan 10 hingga 20 batang pokok ketum ditanam di kawasan sekitar.

Menurut beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek positif mengambil dadah jenis methamphetamine dan hanya seorang mempunyai rekod lampau bersabit kes penagihan dadah.