IPOH: Seramai 36 anggota kumpulan kongsi gelap Geng 04 yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah terancang dibawa ke Kompleks Mahkamah Ipoh bagi menghadapi pertuduhan terhadap mereka.

Kesemua tertuduh tiba dalam dua kenderaan black maria jam 9 pagi diiringi lapan kenderaan polis sambil dikawal ketat oleh anggota ‘CID All Black’ Perak dari Jabatan Siasatan Jenayah Perak.

Mereka termasuk seorang bergelar “Datuk” yang ditahan dalam Ops Cantas Silver pada 27 Januari lepas dikawal selia oleh 11 pegawai dan 104 anggota ketika dibawa ke mahkamah.

Bagi memudahkan pergerakan membawa tertuduh, polis terpaksa menutup sementara laluan di Jalan Sultan Iskandar sejak dari awal 8 pagi ketika kesemua tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, kesemua tertuduh berusia dari 20 hingga 60 tahun itu merupakan 36 pemimpin tertinggi dalam jenayah terancang serius termasuk kes bunuh seorang wanita bergelar datin di Brickfields, Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Menurut beliau, seramai 26 orang ditahan sekitar Perak, Selangor, Melaka dan Johor, manakala 10 orang lagi ditahan dalam penjara di Pokok Sena, Kedah, Sungai Udang, Melaka serta Batu Gajah dan Taiping, Perak, dalam satu sidang media pada semalam (Isnin).

Katanya, polis turut merampas pelbagai barangan seperti wang tunai, barang kemas, hartanah dan kenderaan bernilai lebih RM4.54 juta, dipercayai milik anggota kumpulan itu.

Mereka direman selama 28 hari bermula 27 Januari lalu mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.
Selain itu, Hasnan berkata kesemua suspek akan dituduh mengikut Seksyen 130v Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli suatu kumpulan jenayah terancang yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Mengikut seksyen berkenaan, semua suspek tidak boleh dijamin dan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, tinjauan Suara Perak mendapati perkarangan kompleks mahkamah telah dibanjiri dengan orang ramai selain anggota keluarga tertuduh seawal pukul 7.45 pagi.

Malah, bagi pendakwaan kes melibatkan anggota kongsi gelap ini pihak mahkamah telah mengeluarkan notis yang memaklumkan bahawa kes-kes yang sepatutnya bermula jam 8 pagi telah ditangguhkan sehingga jam 11 pagi.

Justeru, kawalan keselamatan diperketatkan dengan hanya membenarkan para petugas media, kakitangan mahkamah serta anggota keselamatan masuk ke dalam mahkamah manakala kesemua urusan oleh orang awam akan dibuka selepas jam 11 pagi.