KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur berharap masyarakat terutama yang tinggal di ibu negara, memanfaatkan penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi menyalurkan maklumat jenayah di sekeliling mereka.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata sejak dilancarkan pada Mac tahun lalu, jumlah aduan atau maklumat kegiatan jenayah menerusi aplikasi itu masih berada pada tahap rendah biarpun jumlah keahlian VSP kini mencecah seramai 163,000 penyertaan.

Katanya, orang ramai perlu memanfaatkan aplikasi itu bagi membolehkan polis bertindak pantas mencegah serta membanteras jenayah berdasarkan maklumat yang disalurkan.

“Menerusi VSP, orang ramai boleh menghantar teks, berkongsi maklumat bergambar, lokasi serta video sekali gus membolehkan polis bertindak pantas berdasarkan maklumat diterima,” katanya dalam sidang media sempena program High Profile Policing (HPP) Polis Kuala Lumpur yang diadakan di pusat beli-belah Sunway Velocity, hari ini.

Menurut Mazlan, antara bukti keberkesanan VSP ialah kejayaan polis menembak mati lima penjenayah yang merompak sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Kuchai Lama, dalam kejadian 20 November lalu.

Katanya, maklumat disalurkan orang ramai menerusi VSP membolehkan polis bertindak dalam tempoh kurang 15 minit ke lokasi, seterusnya menumpaskan kumpulan penjenayah berkenaan.

“Jadi, kita berharap ahli VSP dapat berkongsi segala maklumat dan lebih ramai individu mendaftar dengan aplikasi itu kerana hanya dengan bantuan serta kerjasama masyarakat polis dapat membanteras jenayah,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai indeks jenayah di sekitar Sunway Velocity, Mazlan berkata, ia mencatatkan penurunan sehingga 45.95 peratus di mana hanya 20 kes dicatatkan bagi tempoh 1 Januari hingga 16 Disember membabitkan 12 kes kecurian, empat kes curi motosikal, curi kereta (dua kes) dan masing-masing satu kes samun berkawan tanpa senjata api dan mendatangkan kecederaan.

Katanya, jumlah kes itu bagi tempoh yang sama pada tahun lalu adalah sebanyak 37 kes iaitu 23 kes membabitkan kecurian, curi motosikal (11 kes), curi kereta (dua kes) dan satu kes samun – berita harian