IPOH: Polis berjaya menumpaskan ‘Geng Susu Tepung’ dengan tertangkapnya tiga sekeluarga pada Ahad lalu yang dipercayai terlibat dalam sembilan kes curi susu tepung bernilai RM20,000 di beberapa pasar raya sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, suspek, seorang ibu tunggal berumur 36 tahun ditahan bersama anak lelakinya berumur 15 tahun dan adik lelakinya berumur 19 tahun di sebuah banglo yang disewa di Taman Menglembu Impiana Adril di sini, kira-kira pukul 11 malam.

Menurut beliau, pemeriksaan di rumah itu menemui 218 tin dan kotak susu pelbagai jenama.

Polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Bezza serta sebuah telefon bimbit.

“Hasil siasatan mendapati seorang lelaki lain berusia 40-an yang merupakan rakan wanita terbabit akan menjual susu tepung yang dicuri itu kepada orang lain,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Selasa.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, kumpulan itu akan memasuki pasar raya dan bertindak mengalihkan beberapa susu tepung ke tempat lain bagi mengelak kegiatan mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau menambah, wanita terbabit kemudian masuk semula ke dalam pasar raya dan memasukkan susu yang telah dialihkan itu ke dalam beg manakala lelaki berkenaan mengalihkan pandangan pekerja di kaunter pasar raya dengan membeli barang dengan harga yang murah dan membuat bayaran.

“Wanita itu kemudian keluar dari pasar raya manakala adik dan anaknya itu tunggu di luar pasar raya sebelum mereka melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Bezza yang disewa,” ujarnya.

Mohd Ali memberitahu, beberapa pasar raya di Sungai Senam, Lahat dan Jelapang, di sini menjadi sasaran mereka.

Beliau berkata, wanita itu mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes yang sama di Ipoh dan Nibong Tebal manakala anak dan adiknya tiada rekod jenayah.

Menurutnya, kumpulan itu melakukan kegiatan itu sejak awal tahun lepas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan dan ketiga-tiga mereka direman lima hari mulai semalam.

Polis sedang mengesan lelaki yang berumur 40-an.