PETALING JAYA: Polis kini berusaha menjejaki individu yang sengaja mencetuskan panik dengan membuat panggilan ancaman bom di Sri Pentas, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata polis yang menerima laporan kejadian itu pada jam 10.12 malam bergegas ke lokasi sebelum mengarahkan semua kakitangan Media Prima mengosongkan bangunan.

Katanya, panggilan berkenaan diterima daripada seorang lelaki yang mendakwa ada bom di dalam bangunan berkenaan.

“Selepas kakitangan dipindahkan ke tempat selamat, pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Unit Anjing Pengesan (K9) melakukan pemeriksaan di seluruh kawasan bangunan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati tiada sebarang objek meragukan ditemui dan selepas keadaan disahkan selamat, semua kakitangan dibenarkan masuk semula ke dalam bangunan kira-kira jam 1.30 pagi,” katanya ketika ditemui.

Semalam, kakitangan Media Prima di Sri Pentas gempar apabila menerima satu panggilan memaklumkan mengenai satu ancaman bom di bangunan itu.

Kesemua kakitangan kemudian diarahkan mengosongkan bangunan berkenaan sebelum polis dan bomba tiba di lokasi – berita harian