MAYAT lelaki yang ditemui dalam keadaan berulat di kawasan semak berhampiran rumah di FELDA Raja Alias 1, Jempol, semalam sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, pengecaman mayat mangsa dibuat adiknya berdasarkan pakaiannya.

Katanya, lelaki yang tinggal di FELDA itu dilaporkan hilang oleh keluarganya pada Selasa lalu.

“Mayat ditemui oleh wanita yang sedang memetik cili di belakang rumahnya sebelum memaklumkan kepada suaminya dan menghubungi polis,” katanya.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, mayat yang sudah membengkak dan berulat dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.

Katanya, polis juga menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian lelaki itu sama ada terkena renjatan elektrik atau sebab lain.

“Berdasarkan siasatan di kawasan penemuan mayat, terdapat dawai elektrik yang dipasang oleh penduduk bagi menghalang haiwan liar masuk ,” katanya.

Semalam akhbar melaporkan mayat lelaki ditemukan memakai baju T merah dan seluar pendek biru oleh penduduk di dalam semak kira-kira 10 pagi – hmetro