KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki suspek kes dera pembantu rumah dibelasah majikannya hingga hampir hilang pendengaran dan tidak mampu berjalan di sebuah rumah di Setapak, di sini, pertengahan bulan lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa, Siti Hajar Mohd Yatim, 62, turut mendakwa diludah dan dimaki apabila majikannya tidak berpuas hati hanya kerana perkara remeh.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan.

“Keterangan daripada mangsa belum diambil kerana mangsa tidak hadir (ke balai polis).

“Sehingga kini, belum ada tangkapan dibuat, namun usaha menjejaki lelaki berkenaan giat dilakukan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wanita warga emas itu nekad melarikan diri, Rabu lalu, dengan memanjat tembok setinggi dua meter di kediaman itu sebelum meminta pertolongan orang ramai berikutan tidak tahan didera sejak hari pertama bekerja di rumah majikannya.

Siti Hajar juga mendakwa ditumbuk pada muka hanya kerana tidak berpuas hati dengan beberapa perkara termasuk dituduh mencuri makanan pada hari pertama bekerja dengan majikannya yang juga seorang lelaki berusia 50-an.

Pada 4 April lalu juga, mangsa mendakwa dibelasah dan diugut menggunakan senjata tajam apabila sekali lagi dituduh mencuri wang anak majikannya menyebabkan dia nekad melarikan diri sebelum dibantu orang ramai yang membawanya ke Balai Polis Setapak, di sini, untuk membuat laporan.

Dia kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan dimasukkan ke wad selama seminggu sebelum diambil kakitangan sebuah pusat kebajikan di bandar raya ini.