KUALA LUMPUR : Polis mendapatkan khidmat pakar Amerika Syarikat (AS) untuk menilai ketulenan dan mengecam dua lelaki dalam video seks sejenis menyasarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata, pihaknya sedang menunggu laporan penilaian pakar itu ke atas rakaman video yang tular di aplikasi WhatsApp pada Jun lalu.

“Sebelum hujung tahun (akan dapat laporan), saya sangat pasti.

“Laporan itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara setelah kita terimanya nanti,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Huzir berkata, pakar itu berasal dari sebuah universiti di AS dan pernah menjadi saksi di mahkamah.

“Kita kenal pasti siapakah pakar yang boleh dipercayai, yang boleh memberi keterangan di mahkamah nanti. Kalau hantar ia (video) pada (pakar) yang tidak pernah beri keterangan, mungkin nanti akan ditolak di mahkamah.

“Sekiranya sudah sampai peringkat perbicaraan, mungkin pakar ini akan dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah, jadi sebab itulah kes ini mengambil masa agak lama.”

Beliau berkata, kertas siasatan kes itu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara kira-kira 8 kali.

“Beberapa arahan sudah diberi dan tindakan daripada arahan itu sudah kita laksanakan dan kita juga mengesahkan sudah diarah mendapatkan pandangan pakar berkecuali bagi analisa video berkenaan.”

Mengenai laporan forensik oleh Verden Forensics di United Kingdom yang dilakukan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam, Huzir berkata, terpulang kepada Jabatan Peguam Negara untuk menentukan tindakan lanjut ke atas hasil analisa itu.

“Kita sudah panggil Lokman berhubung tindakannya bawa video itu kepada pakar luar negara. Kita juga sudah kesan laporan itu ditularkan dalam media sosial. Kita sudah bawa ke pengetahuan peguam negara sama ada hendak terima laporan berkenaan atau tidak.”

Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz mengakui dia terbabit dalam video seks sejenis itu dan menamakan Azmin sebagai pasangannya, tetapi dakwaan itu dinafikan timbalan presiden PKR berkenaan yang menyifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Polis kemudian mengumumkan penubuhan sebuah pasukan petugas forensik yang terdiri daripada polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta agensi lain untuk menentukan ketulenan video seks itu.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pada 18 Julai lalu mengumumkan analisis CyberSecurity Malaysia yang mengesahkan video seks sejenis itu adalah tulen, tetapi ia tidak dapat mengecam individu dikatakan mirip seorang menteri itu.