KUALA LUMPUR: Tindakan polis melarang kenalan rapat melawat Datuk Seri Najib Razak di kediaman bekas Perdana Menteri itu disifatkan sebagai tidak munasabah dan melanggar prinsip demokrasi.

Seorang lelaki yang mendakwa ahli UMNO, Abdul Rahim Abdul Rahman, 65, berkata beliau sebagai rakan seperjuangan terkilan apabila tidak dibenar memberi sokongan moral ketika Najib menghadapi pelbagai tohmahan pihak tertentu.

“Saya tidak setuju dengan tindakan ini (polis tidak benarkan rakan melawat Najib). Saya juga tidak tahu status Najib sekarang sama ada ditahan di dalam rumahnya atau sebaliknya.

“Pada masa ini, sepatutnya saya dan beberapa rakan lain berjumpa Najib pada jam 12 tengah hari tadi tetapi dilarang.

“Kami akan terus setia menunggu (sehingga dibenarkan untuk berjumpa dengan Najib),” katanya ketika ditemui di pekarangan kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini, hari ini.

Ketika ditanya kali terakhir bertemu bekas Perdana Menteri itu, beliau berkata, mereka bersua muka ketika Najib menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di ibu negara, minggu lalu.

“Ketika itu, beliau (Najib) nampak tenang dan tidak terkesan dengan sebarang fitnah,” katanya – berita harian