ALOR GAJAH: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Melaka berjaya menumpaskan penyeludupan rokok bernilai RM1.7 juta melalui serbuan di Pangkalan Nelayan Sungai Nipah, Lukut, Negeri Sembilan, Sabtu lalu.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang, berkata aktiviti penyeludupan itu dikesan hasil maklumat awam sebelum sepasukan anggota menyerbu lokasi terbabit kira-kira jam 9 malam.

Katanya, sekumpulan lebih 10 lelaki didapati berada di tempat kejadian dan disyaki sedang melakukan kerja pemunggahan rokok dari bot pancung ke dalam lori.

“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, kesemua mereka melarikan diri ke dalam hutan bakau berdekatan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot dan lori terbabit kemudian menemukan masing-masing 205 kotak rokok jenama Canyon dan 135 kotak rokok Luffman,” katanya pada sidang media di Pejabat PPM Kuala Linggi di sini, hari ini.

Khon Chiang berkata, rokok berkenaan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran di Semenanjung, manakala tempat kejadian pula antara lokasi panas dikenal pasti.

Beliau berkata, selain rokok, dua lori tiga tan dan sebuah bot pancung turut dirampas yang keseluruhannya bernilai RM2,093,600.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan pemilik lori berkenaan sama ada berdaftar dengan syarikat atau perseorangan,” katanya.

Sejak awal tahun ini, Khon Chiang berkata, PPM Wilayah Dua sudah berjaya menumpaskan tiga kes rokok tidak sah membabitkan rampasan berjumlah RM4,579,650 – berita harian