Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seorang anggota daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP/FRU) maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 284.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat sini, pada awal pagi Khamis.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi itu, mangsa Konstabel Muhammad Najmuddin Afham Nasir, 25, yang bertugas di Pasukan Simpanan Persekutuan Ipoh dipercayai dalam perjalanan ke utara dari Ipoh sebelum terlibat dengan insiden yang meragut nyawanya.

Menurut Mohd Ali, berdasarkan siasatan awal, pihak polis mendapati mangsa telah merempuh bahagian belakang sebelah kanan treler yang berhenti di lorong kecemasan.

Berikutan itu, mangsa meninggal di dunia di lokasi kejadian akibat parah di beberapa bahagian badan.

“Siasatan lanjut terhadap pemandu treler yang berusia 23 tahun mendakwa, mangsa merempuh bahagian belakang trelernya kemudian tercampak sebelum dilanggar sebuah kenderaan yang tidak tidak dikenal pasti.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

“Tiada tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam sebuah kenyataan media pada Khamis.